BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, November 17, 2009

Motivasi

21 November 2009

Matlamat Dan Cita-cita

Kehidupan seseorang pelajar adalah ibarat sebuah kapal di tengah lautan yang menghadapi pelbagai dugaan, halangan dan rintangan.

Tanpa ilmu pengetahuan dalam pelayaran dan bekalan yang secukupnya serta halatuju (pelabuhan) yang jelas, maka kita akan menjadi pelayar (pelajar) yang terumbang-ambing di bawa arus yang deras.

Begitulah halnya dengan setiap pelajar. Mereka perlu mempunyai matlamat dan cita-cita dalam hidup. Di samping itu, matlamat akan hanya tercapai apabila ianya disertakan dengan daya usaha yang kental dan berterusan.

Matlamat adalah inspirasi perjuangan yang boleh membantu kita mencapai kejayaan hidup. Manakala, usaha adalah intipati yang jelas membawa kita kepada matlamat.

Pendek kata;

"MATLAMAT tanpa USAHA sering dikaitkan dengan jiwa ANGAN-ANGAN";
"USAHA tanpa MATLAMAT sering dikatakan jiwa SIA-SIA";
"MATLAMAT disertakan USAHA pasti membawa kepada jiwa penuh KEJAYAAN".


22 November 2009

Usaha Yang Jitu

Orang yang berusaha akan melakukan apa sahaja untuk mencapai apa yang dihajati. Jangan biarkan diri anda dikuasai rasa bosan, malas dan jemu.

Untuk melawan perasaan negatif ini, anda perlu:

1. Biasakan diri melakukan sesuatu sehingga selesai, sebelum berhenti.
Contohnya, jika anda perlu menyiapkan kerja rumah dengan menjawab 20 soalan matematik, cuba habiskan kesemua soalan itu dalam satu masa dan elakkan membuat latihan tersebut secara berperingkat-peringkat. Ini akan menyebabkan kerja anda tertangguh dan tumpuan juga terjejas. Anda akan dihinggapi penyakit malas.

2. Hadkan masa yang cukup untuk menyiapkan sesuatu kerja.
Ini bermaksud, anda perlu memberikan ruang masa yang sesuai dan berpadanan dengan bebanan kerja yang dilakukan. Seperti contoh di atas, jika anda dikehendaki menjawab 20 soalan matematik, cuba tetapkan masa yang bersesuaian dengan usaha yang perlu diberikan bagi menyelesaikan latihan tersebut. Ikutlah arahan soalan dan minta nasihat daripada guru/pensyarah anda.

3. Adakan satu matlamat yang mesti dicapai pada setiap hari.
Anda perlu menetapkan satu matlamat yang jelas untuk dicapai setiap hari. Jika menggunakan contoh tadi, anda boleh tetapkan bahawa untuk hari ini, anda ingin menjawab 20 soalan matematik. Itu matlamat yang anda ingin capai hari ini. Berusahalah dengan mengikuti dua langkah di atas, anda akan berjaya mengatasi masalah tadi.


23 November 2009

Fikirkan Masa Depan

Motivasi merupakan penggerak seseorang untuk mencapai kejayaan. Namun, masih terdapat di antara kita yang mempunyai masalah motivasi. Daripada apa yang telah diperhatikan, antara faktor-faktor masalah ini ialah seseorang itu lahir dalam keluarga yang berada, selalu dimanjakan dengan kesenangan, tiada dorongan kejayaan daripada ibu bapa dan banyak lagi. Lalu seseorang itu akan menjadi malas ataupun berusaha tanpa kesungguhan untuk mencapai kejayaan.
Tanpa memikirkan tentang masa depan yang pasti dihadapi, masalah motivasi sukar diatasi. Bayangkanlah hidup anda ketika anda telah dewasa kelak. Adakah anda mampu memberikan kebahagiaan kepada diri anda ketika itu? Bagi lelaki, bagaimana pula untuk anda memberikan kebahagiaan kepada isteri dan anak-anak? Tanpa kejayaan yang cemerlang, mungkin anda tidak mampu melakukannya. Adakah bagus jika anda bergantung kepada ibu bapa sahaja? Sedangkan sewajarnya pada masa itulah kita sepatutnya membalas jasa mereka dengan kejayaan hidup kita.
Masalah motivasi boleh ditangani sekiranya kita sentiasa membayangkan bagaimanakah masa depan kita ketika perasaan malas berusaha itu datang. Tentanglah perasaan itu sehabis-habisnya. Jika tidak, masa depan bukan sahaja kelam, malah menyukarkan. Fikirkanlah, bagaimana untuk kita mendidik anak-anak nantinya agar menjadi seorang yang berjaya. Jangan sampai orang kata, seperti ketam mengajar anaknya berjalan.

0 comments: