BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, November 17, 2009

Iman Dalam Kehidupan

24 November 2009

Persoalan iman bukannya perbincangan ilmiah semata-mata tanpa menampakkan hasilnya dalam kehidupan. Selain daripada kefahaman yang jelas, penghayatan terhadap aqidah itu sendiri lebih penting dan seterusnya dapat mendefinisikan kefahaman dan penghayatannya di dalam kehidupan. Ganerasi sahabat dahulunya, tidak begitu hebat membicarakan persoalan aqidah secara ilmiah mahupun teori. Namun mereka memiliki kefahaman yang jelas terhadap aqidah yang dipegang dengan penuh kesedaran. Lalu, mereka mengaplikasikan nilai keimanan mereka di dalam kehidupan.
Sesetengah daripada umat tidak nampak kepentingan iman di dalam kehidupan. Iman bukan sahaja umpama pelita di dalam kehidupan yang menyuluh jalan hidup, bahkan ianya adalah satu kuasa yang memberi kekuatan kepada seseorang itu. Malah, jika seseorang yang mempunyai iman yang teguh bersatu dengan yang lain dapat menjadi kuasa yang terkuat di dunia. Buktinya amat banyak sejak dahulu lagi.
Sejarah telah mencatatkan satu kebangkitan umat padang pasir "Sahara". Mereka mendiami bumi Hijjaz yang tidak mempunyai banyak kelebihan jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain. Mereka inilah yang dikenali sebagai bangsa Arab. Bumi yang didudukinya tersisih jauh dari dunia sekitarnya. Tanahnya tandus dan suhunya amat panas pada siang hari manakala malamnya sejuk menusuk tulang. Kehidupan mereka penuh dengan pergaduhan, peperangan, perzinaan, kekejaman dan sebagainya sehinggakan mereka digelar orang Arab Jahiliah.
Kemudian, arus kebangkitan mula datang dibawa oleh Islam dan diteguhkan lagi dengan iman yang kuat. Mereka yang amat lemah dahulunya menjadi kuat dan maju. Mereka telah berjaya menghancurkan halangan Rom dan Parsi untuk selama-lamanya. Mereka juga menerajui segala bidang ilmuan seperti sastera, sains, perubatan, matematik dan lain-lain lagi. Kebangkitan umat yang beriman ini sangat dikagumi dunia khasnya musuh Islam. Ketika belum sampai dua kurun dari tempoh kelahiran Islam, bendera Islam telah berkibar dari daerah Branas hingga ke pergunungan Himalaya di China dan dari gurun pasir Asia Tengah hingga ke gurun pasir Afrika Tengah.
Begitulah betapa berkuasanya iman daripada agama Allah, Islam. Kita juga dapat lihat bagaimana umat Islam hari ini semakin lemah dan mundur akibat keteguhan iman yang mudah digoyah. Ia lebih parah lagi apabila umat berpecah belah. Justeru, kita perlulah kembalikan keteguhan iman di dalam diri kita agar kita tidak semakin lemah dan mundur. Setelah kuasanya kembali, tidak mustahil kita dapat mengembalikan keagungan Islam.
Kuantiti yang sedikit bukan menghalang kemenangan. Kekentalan iman ganerasi awal dapat menewaskan musuh-musuh Islam walaupun dengan tentera yang sedikit. Malah, bukti kekuatan iman turut berlaku pada zaman ini. Ketika keganasan orang Kristian di Ambon beberapa tahun yang lalu, umat Islam hanya mempunyai iman yang teguh dan senjata yang begitu daif jika dibandingkan orang Kristian yang ramai dan lengkap bersenapang. Dengan kekuasaan Allah, ribuan tentera kecil berjubah putih telah dihantar oleh Allah untuk membantu umat Islam menyebabkan orang Kristian itu berundur.
Iman yang diperlukan oleh umat Islam kini ialah iman yang teguh seperti ganerasi sahabat dahulu. Iman yang teguh tidak dapat digoncang atau dimusnahkan dengan sebarang senjata. Itulah senjata utama yang akan menentukan masa depan umat Islam samada cerah dan kembali gemilang atau menghadapi zaman-zaman yang muram.


0 comments: